Tuesday, July 19, 2011

Berniatlah setiap hari untuk beramal dengan yang lebih baik dari semalam...

Melakukan tugas sesuai menurut waktunya:

"Ketahuilah bahawa hamba mempunyai tugas terhadap Allah disiang hari dimana Allah tidak akan menerimanya (jika dikerjakan) pada malam hari. dan hamba mempunyai tugas terhadap Allah diwaktu malam yang tidak akan diterimaNya disiang hari". 
(Nasihat dan wasiat Abu Bakar Siddik kepada Umar  sewaktu Abu Bakar melantiknya menjadi khalifah).

Untuk itu, rujuk juga surah anNisa':103; berhubung tugas beribadat dengan bersolat dan tugas untuk sentiasa mengingatiNya diluar solat dalam semua keadaan termasuklah semasa tidur, duduk, berdiri dan semasa melakukan tugas harian atau tugas waktu malam.

"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (103)" (AnNisa':103).
 
Golongan 'arifin berkata: "Masa atau waktu yang dilalui hamba ada 4 bukan lima; iaitu nikmat, bala, ketaatan dan maksiat. Allah mempunyai hak keatasmu pada setiap waktu dari yang empat perkara itu, iaitu hak Allah selaku Tuhan keatas anda sebagai seorang hambaNya".

Oleh itu, sesiapa yang berada dalam masa atau waktu (menerima):

  1.  'Ketaatan' hendaklah ia melihat nikmat dan kurnia Allah keatasnya kerana Allah telah memberi taufik untuk menunaikannya dan memberi hidayah untuk berlaku taat kepadaNya.
    • "Katakanlah (wahai Muhammad): Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya) kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal). (58)" (Surah Yunus:58). 
  2.  'Kenikmatan' hendaklah bersyukur dengan anugerah Allah.
    • "Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba`, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; ۥ بَلۡدَةٌ۬ طَيِّبَةٌ۬ وَرَبٌّ غَفُورٌ۬(negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun. (15) (surah Saba': 15).
  3. 'Kemaksiatan' hendaklah kembali segera bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT kerana Allah suka kepada hambaNya yang suka bertaubat dan memohon ampun kepadaNya. 
    • "Kalaulah kamu tidak berdosa langsung, pasti Allah SWT akan mematikan kamu dan mendatangkan kaum lain yang melakukan dosa. Selepas itu mereka bertaubat meminta ampun daripada Allah SWT, lalu Dia mengampuni mereka".(Maksud Hadis Riwayat Muslim). 
    • "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (53)" (Azzumar:53).  
  4. 'Bala-bencana' hendaklah hambanya 'redha dan bersabar' iaitu redha dengan jiwa yang tenang menerima ketentuannya dan bersabar dengan hati yang teguh dan tetap berdepan dengan ketentuan Allah SWT tersebut. 
    • Antara doa yang mustajab dibaca ialah ketika menempuh ujian dari Allah SWT ialah:
      • "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155) (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (156) "إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ  ....". (Albaqarah: 155-156).
      • 'AllahuRabbi, La syarikalah' sebanyak 3 kali.
    • "Orang mukmin...jika dia menerima nikmat dia bersyukur dan jika dia ditimpa musibah dia bersabar" (Maksud dari makna hadis riwayat Muslim).
Oleh itu, marilah kita mulakan hidup seharian kita dengan niat ikhlas kerana Allah SWT bagi tujuan mencari redhaNya setiap masa dan ketika. Jika kita melalui waktu dan masa harian kita (seperti disebut diatas), Islam telah mengajar kita sebagai seorang beriman, untuk melaluinya dengan penuh ketakwaan kepadaNya. Sebagaimana pesannya golongan 'arifin bahawa (dalam menghadapi harian kita dengan malam dan siang):

"tidurlah bila kamu mengantuk untuk berehat dan bertaqwalah pada Allah SWT bila saja kamu berjaga dari tidur"

Antara amalan yang diajar oleh Nabi SAW kepada Bilal ibn Rabah RA ialah:

 "solat witir sebelum tidur, baca ayat kursi, surah alfalak dan surah annas serta doa untuk tidur" kemudiannya bila terjaga dari tidur, bacalah 'doa bangun dari tidur, dan surah alfalak serta surah annas". 

Kemudian hadapilah, masa harian dengan ketakwaan pada Allah SWT dengan melalui empat peringkat waktu tersebut diatas, insya Allah. 

Semoga, mendapat keredhaan dari Allah SWT untuk usrati, dan ashabi yang mengikuti blog ini. Yang terbaik itu adalah dari Allah SWT sahaja, yang tidak baik itu dari penulis. Wallahu'alam.