Sunday, June 7, 2009

PKL: Antara Redha Tuhan dan Redha Manusia…..

PKL: Antara Redha Tuhan dan Redha Manusia…..
Salam sejahtera untuk semua, moga Allah rahmati dan berkati kita semua, dalam menjalani Islam sebagai cara hidup kita dan seterusnya dalam perjuangan kita menegakkan Islam.
Dalam Al-Quran, Surah al-‘Asr, Allah swt berfirman dengan maksud bahawa: ‘Demi masa, sesungguhnya insan itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan kepada kebenaran, dan berpesan kepada kesabaran.’
Kata kunci dalam ayat tersebut ialah masa, manusia, kerugian, beriman, beramal soleh, kebenaran dan kesabaran.
Pada masa ada ‘amal soleh’ yang kita lakukan didunia ini untuk bekalan akhirat. Amal soleh yang kita harapkan mendapat redha dari Allah swt semata-mata. Maka disini, pra-syarat amal soleh yang pertama ialah ikhlas mencari redha Allah swt. Dalam mencari redha Allah swt ketika melakukan amal seharian, kita berdepan dengan masa. Kita juga berdepan dengan manusia lain atau makhluk lain ciptaan Allah swt. Kita tercabar dan teruji akan keikhlasan amalan kita, apakah kita benar-benar melakukannya kerana Allah swt atau kerana perhambaan kepada manusia untuk tujuan selain dari mencari redha Allah swt. Perkara ini bolih berlaku dengan alpa atau disengajakan kerana memikirkan akan apa orang akan kata? Sepatutnya, jika bertembung antara dua perkara seperti ini, yang terbaik ialah memperolehi redha Allah swt disamping melakukannya dengan akhlak yang paling mulia iaitu dengan sopan dan santun. Cara ini merupakan cara amal yang diredhai oleh Allah swt dan disukai oleh manusia pula. Hubungan kita dengan Allah adalah diberkati dan hubungan kita dengan manusia pula disukai ramai. Itulah tahap yang kita mahu sebagai tahap ‘Khadimul Ummah’, iaitu melaksanakan tugas kepimpinan terhadap rakyat semata-mata kerana mencari redha Allah swt.
Tugas berat sebagai ‘Khadam Ummah’ atas dasar taqwa kepada Allah ini adalah sangat berat. Jika kita ukur cara KPI, nilai indeksnya memerlukan ‘kecacatan sifar’ atau nilai ‘Petunjuk Khidmat Pengguna (CSI)’ mestilah seratus-peratus, menjangakaui lebih dari lapan sigma. Tiada kecacatan langsung didalam amal khidmat kita, jika kita nisbahkan pada khidmat pengeluaran bagi satu billion produk yang dihasilkan oleh kilang kita, hanya satu atau dua produk sahaja yang rosak atau cacat. Itulah nilai kerja yang berasaskan ‘zero defect’ dalam gerak amal soleh berjiwa ‘Khadam ummah’. Ummah yang kita sifatkan sebagai ‘pelanggan atau customer’, merasa puas sepenuhnya dengan khidmat yang kita berikan, kerana asas kepada khidmat itu ialah disandarkan kepada mencapai redha Allah swt semata-mata (liwajhiLlah). Tahap nilai amalan tertinggi dari banyak amal soleh yang kita lakukan supaya ianya melepasai tujuh lapisan langit untuk sampai kepada Allah ‘azzawajalla. Untuk sampai kesitu, amalan kita perlu melalui pelbagai cabaran dan disebut dalam hadis sahih bahawa terdapat tujuh malaikat dipanggil ‘Malaikat Hafazah’ yang menjaga disetiap lapisan langit untuk mengawal dan menapis amalan kita sebelum dibawa menemui Allah swt melepasi lapisan langit ketujuh. Malaikat hafazah akan ‘reject’ atau menolak ‘amal soleh’ sesaorang manusia itu jika ianya gagal memenuhi spesifikasi ‘amal soleh’ sebenar. Apa dia spesifikasinya? Pada matalamat amal soleh itu, ianya mestilah bagi tujuan ‘liwajhiLlah’ iaitu mencari nilai redha Allah swt yang paling tinggi, mengatasi sifat ikhlas yang selalu kita sebutkan. Sifat ikhlas ini, ditapis untuk amal yang telah pun melepasi langit ketujuh, sebelum dibawa kepada Allah swt; tetapi nilai terakhir sebagai ‘finished products’ ianya memerlukan ‘redha Allah swt dan juga redha ummah’ sehingga kita sifatkan ianya paling teratas dari segi nilai ‘penemuan redha Allah swt’ iaitu berasaskan ‘liwajhiLlah’ iaitu semata-mata kerana Allah swt.
Dalam teori komunikasi yang menggunakan matriks antara (i) Allah redha, (ii) Allah tak redha; bertemu dengan, (iii) manusia redha, dan (iv) manusia tak redha: amal soleh yang paling aula atau tinggi keutamaan afdhalnya ialah apabila perbuatan amal kita itu bersetuju antara (i) redha Allah dab juga (ii) redha manusia. Inilah keutamaan teratas bagi sesebuah amal soleh. Namun, jika manusia tidak suka tetapi amal itu disukai dan diredhai Allah swt, amalan itu tetap dikira mendapat redha Allah swt, kerana Allah swt mempunyai kuasa mutlak keatas setiap sesuatu. Tetapi bagi amalan yang Allah tidak redha, biar pun manusia suka, apa tah lagi, jika manusia pun tak suka; maka amalan seperti adalah buruk dan terburuk. Tertolak oleh malaikat hafazah dilapisan langit pertama lagi, kerana amalan yang dilakukan bukan ikhlas dan ianya syirik terhadap Allah swt, maka ianya ‘rejected atau ditolak’ oleh malaikat hafazah supaya tidak dibawa naik kelapisan langit kedua atau seterusnya.
Didalam al-Quran, surah al-Kahfi, Allah swt berfirman dengan maksud: ‘….barang siapa yang mengharapkan untuk menemui Tuhannya, maka hendaklah ianya beramal soleh, tanpa syirik didalam ibadatnya terhadap Allah swt..” .
Dalam surah al-Baqarah pula, yang kit abaca selepas ayat kursi, menyebut dengan maksud: “….maka bagi sesiapa yang menolak Thaghut, dan beriman kepada Allah swt…”adalah juga merupakan asas untuk amalnya sampai kepada Allah swt bagi setiap cara hidupnya supaya Islam adalah cara hidupnya bukan selainnya (iaitu jalan thaghut, yang melampaui batas Islam).
Supaya amalan kita dapat kita capaikan KPI nya kepada nilai yang bertahap ‘mendapat redha Allah iatu LiwajhiLlah’; marilah sama-sama kita fahamkan maksud dari al-Quran, surah al-insan, iaitu suatu surah yang selalu dibaca oleh kita pada waktu solat subuh jumaat: “….dan mereka memberi makan, makanan yang merekai sukai, kepada orang miskin, dan anak-anak yatim, dan orang lepasan tawanan; sesungguhnya perbuatan memberi makan tersebut, adalah semata-mata kerana ingin mendapat redha Allah swt (liwajhiLlah), tulus ikhlas keranaNya…”. Kisah ini adalah kisah dari asbab turunnya ayat ini kerana memuliakan amal soleh yang dilakukan oleh satu suami isteri yang berpuasa. Selama tiga hari berturut-turut mereka didatangi oleh tetamu yang tidak diundang iaitu orang miskin, anak yatim dan tawanan perang; lalu pada saat berbuka puasa itu mereka dating sebagai tetamu, dan semua makanan yang mereka gemari itu, diberikan kepada tetamu-tetamu mereka, dengan tulus ikhlas demi mendapatkan redha Allah swt iaitu ‘liwajhiLlah’. Contoh amal soleh beginilah yang diterima dan berjaya melepasi semua tujuh lapisan langit tanpa halangan dari malaikat hafazah, bahkan mereka berebut-rebut membawa amal itu untuk dipersembahkan kepada Allah swt yang bersemayam diatas ‘Arsy supaya diterima dan diredhai olehNya. Inilah tahap kualiti amal soleh yang lengkap dan sempurna melepasi (comply) semua spesifikasi atau syarat, sehingga benar-benar murni untuk diiktiraf oleh Allah swt sebagai Pencipta, bahawa amalan seperti itu adalah melepasi proses ‘kawalan kualiti lengkap’, melebihi lapan sigma atau mencapai tahap ‘zero defect’.
Dari tiga pra-syarat amal soleh yang akan diterima Allah swt iaitu (i) Muslim yang mukmin, (ii) Ikhlas, dan (iii) syari’e (syariah compliance); kita hanya sempat membincangkan faktor ikhlas sebagai asas penting untuk sesuatu amal itu dikira lulus sebagai ‘amal soleh’ yang diredhai oleh Allah swt. Jika begini, kita lakukan, insya Allah, amalan kita akan tertulis sebagai ‘amal soleh’ yang Allah swt redhai. Marilah kita renung sebuah kisah tentang seorang perempuan pelacur yang hanya kerana beliau memberi minum kepada seekor anjing yang dahaga dipadang pasir, lalu Allah swt menerima amalnya itu sebagai amal soleh, hinggakan Allah swt menerima dan membebaskannya dari azab api neraka dengan rahmat Allah swt. Justeru, marilah kita perbanyakkan melakukan amal, kerana dalam banyak-banyak amal itu, kita harapkan salah satu, jika tidak semua pun, akan diterima oleh Allah swt sebagai ‘amal soleh’ liwajhiLLah. Lakukanlah amal soleh fardhu mendahului amal soleh sunat, dan seterusnya, supaya kita berjaya melepasi membawa amal kita sehingga kelangit ketujuh dan sampai padaNya. Insya Allah, dengan rahmatnya, kita dibebaskan dari azab api neraka dan diterima pula masuk syurgaNya.
Inilah antara bicara kita tentang PKL dalam menghasilkan amal soleh sebagai produk bekalan akhirat untuk kita nanti. Wallahu ‘alam.

No comments: