Islam itu cara hidup, bekerja itu ibadah
Sempena dengan hari pekerja, Ahad, 1 May 2011.
Islam itu ialah cara hidup untuk manusia, terutama sekali orang Islam. Manusia yang beriman kepada Allah swt, mereka berpegang teguh kepada Islam kerana dengannya mereka dapat melalui proses kehidupan dengan mudah. Islam itu mudah difahami dan mudah pula diikuti. Sedar atau tidak, kita ini hidup dengan cara hidup Islam. Perutusan Nabi Muhammad saw sebagai Rasul mengajar kita bagaimana untuk menjadikan Islam itu sebagai cara hidup. Cara bagaimana kita beribadat, makan, minum, tidur dan sebagainya yang kita lalui termasuk cara kita berkerja supaya semua itu menjadi ibadah kepada kita. Kita hidup itu adalah dalam ibadah selama hayat kita masih ada.
Imam Hassan Albanna, menyebut bahawa “masa itu ialah kehidupan”, bukan “masa itu emas”. Pandangan ini melihat bahawa harta dan kekayaan didunia ini adalah sebagai pahala diakhirat nanti, kerana manusia meletakkan seluruh hidupnya sebagai ibadah termasuk bekerja. Berehat diwaktu malam adalah suatu kehidupan yang juga dikira ibadah. Bekerja diwaktu siang juga dikira ibadah. Inilah kehidupan kita. Siang kita tidur, pun dikira ibadah apatah lagi jika beribadat dengan bangun malam bersolat tahajjud dan membaca quran dan sebagainya. Semua itu jika kita ambil Islam sebagai cara hidup maka kita dikira beribadah kepada Khalik, Pencipta kita.
Masa kita itu adalah umur kita dan seluruh umur kita itu adalah kehidupan. Kita hidupkan keseluruhan kehidupan kita itu dengan ibadah kerana kita jadikan Islam itu sebagai cara hidup kita. Disiang hari, kita bekerja mencari nafkah untuk kita hidup supaya kehidupan kita itu berlalu dengan masa sebagai beribadah. Inilah yang dimaksukkan makna surah Al-Asr mengenai masa:
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan kepada kebenaran, dan yang berpesan kepada kesabaran”.
Tanpa Islam sebagai cara hidup, kehidupan manusia itu akan rugi. Didunia rugi dan diakhirat pun rugi. Manusia rugi didunia kerana tidak memanafaatkan masa hidupnya sebagai pekerja yang beramal soleh atau pekerja yang baik. Pekerja yang baik itu bila dia bekerja, dia menjadikan Islam sebagai cara untuk bekerja, lalu dia peroleh wang untuk berbelanja didunia dan juga pahala untuk bekalan akhiratnya dari apa yang ia belanjakan tersebut serta dari apa yang ia kerjakannya. Apa yang dibelanjakan untuk diri, keluarga, rumahtangga dan sebagainya adalah dikira infak dan merupakan saham akhirat. Inilah yang dimaksudkan oleh junjungan besar kita Nabi SAW apabila di berseloroh dengan para sahabatnya tentang soalan matematik mantik yang maksudnya berbunyi: ‘Dari sepuluh ekor burung yang terbang diudara, tiga ekor kena tembak, berapa ekor yang tinggal? Tanya Nabi SAW kepada para sahabat dalam gurauannya. Lalu para sahabat sepakat menjawab, tinggal lagi tujuh. Jawapan itu sebenarnya tidak betul, kata Nabi SAW. Tiga ekor yang kena tembak itulah yang tinggal. Tujuh ekor lagi terbang entah kemana. Itulah perumpamaan mantik dari matematik tersebut bahwa yang terjatuh itu umpama apa yang kita belanjakan atau kerjakan didunia dan dikira saham pahala kita diakhirat nanti, dan yang kita tidak belanjakan itu ialah umpama burung yang terbang itu, entah kemana perginya bila kita mati nanti. Nikmat sebagai harta didunia pun kita rugi dan pahala diakhirat pun kita tak perolehi. Ia terbang entah kemana. Inilah yang kita panggil konsep amal soleh atau kerja terbaik.
Terdapat tiga syarat membolehkan kerja itu dikira ‘ibadah, amal soleh atau kerja terbaik’ iaitu kerjabuat yang:
1) Niatnya ikhlas kerana Allah SWT semata-mata,
2) Dilakukan dalam batas-batas syariat Allah SWT,
3) Dilakukan oleh seorang Muslim,
Jika kita beriman dan berkerja didalam sesebuah firma, maka kita adalah bernilai pada firma tersebut kerana kita berkerja dengan cara hidup Islam dan dikira ibadah. Ibadah itu berkat. Berkat itu ‘kesan sinergi’ atau ‘synergistic effect’. Bila kesan ini dikumpulkan dari pelbagai pekerja tadi, maka kumpulan amalan mereka dari apa yang mereka kerjakan akan menjadi lebih baik, berkualiti dan terbaik. Inilah kita panggil barakah yang akan memberikan keuntungan kepada sesebuah firma atau sesebuah negara. Kesan barakah ini pula melonjakkan nilai KPI firma atau jabatan ditempat ia berkerja. Lalu dia memperbaiki amalan dan kerjanya bagi tujuan memperbaiki nilai kehidupannya dari masa kesemasa. Dia bersabar dengan proses kerjanya, kehidupannya, dimana jua dia berada, dengan slogan KPInya, iaitu ‘hari ini lebih baik dari semalam dan esok aku mau lebih baik dari hari ini’. Inilah kehidupan berasaskan ‘Islam itu cara hidup, dan berkerja itu ibadah’.
Jika konsep ini kita abaikan dalam kehidupan kita, bukan sahaja kita rugi didunia ini, tetapi juga kita akan rugi diakhirat nanti. Hidup didunia tanpa wang ringgit, dan diakhirat tanpa pahala.
Secara pribadi, dia rugi, dan firma pula rugi kerana dia sebahagian dari pekerja firma tersebut. Bila firma rugi, rakan pekerja yang lain juga turut menanggung kerugian. Nilai firma akan turun kerana modal insan firma tersebut tiada nilai keberkatannya. Jika banyak firma-firma jenis ini ujud, negara kita juga turut rugi. Kajian dinegara barat membuktikan bahaawa kesan modal insan seperti ini merupakan salah satu punca dari banyak faktor yang menyebabkan firma rugi dan bankrap. Ekonomi merudum dan negara pula menjadi gagal dalam pemerintahannya. Sehubungan dengan ini, saya teringat sebuah kisah silam. Seorang rakyat bertanyakan seorang imam terkenal bagaimakah caranya untuk beliau menyelesaikan isu tanaman ladangnya yang tidak menjadi. Imam itu menjawab, baliklah kamu dan beristighfarlah. Itu saja. Ya, itu saja, kata Imam tersebut. Lalu beliau balik dan melakukan seperti apa yang disuruh. Tahun berikutnya, dia datang lagi mengadu kepada Imam tersebut. Kali ini dia mengadu kerana tanaman ladangnya begiti subur dan banyak pula mengeluarkan hasil dan berlebihan. Lalu dia bertanya kepada Imam itu, apa patut dia lakukan. Lalu Imam itu menjawab, bersyukurlah pada Allah SWT. Kisah ini menceritakan kepada kita bahawa Islam itu cara hidup dan ia dapat menyelesaikan segala isu jika kita jadikan ia cara hidup termasuk budaya kerja kita.
Maksud hadis, dari Rasulullah SAW pernah ditanya tentang kerja yang paling baik? Baginda bersabda: “Usaha yang paling baik sekali, ialah usaha sesaorang kamu dengan tangannya, semua jualbeli yang diredhai Tuhan.”
Sabdanya lagi, bermaksud: “Sebaik-baik perusahaan ialah perusahaan seorang pekerja, jika ia melakukan dengan sebaik-baiknya.”
Pekerja yang mahir dalam kerjanya, cekap dan teliti hasil usahanya, itulah dikira pekerja yang baik. Maksud teliti disini ialah itqan atau berkualiti dalam melakukan kerjanya. Inilah tuntutan dari apa yang kita maksudkan Islam itu cara hidup. Seni kemahiran ini sepatutnya dimiliki oleh orang Islam supaya pekerja Islam mampu menjadi ‘pekerja terbaik sepanjang hayat’. Ini kerana disebalik kualiti kemahirannya, beliau sebagai pekerja Islam juga memiliki nilai-nilai dari sifat Nabi SAW iaitu ‘Siddiq, Amanah, Tabligh dan Pathanah’ iatu bersifat ‘Qawiyyun Amin’. Kalimah ini dipetik dari kisah Nabi Musa AS dengan Nabi Shuib AS tatkala Nabi Musa AS yang mempunyai sifat berkemahiran dan amanah sebagai pekerja terbaikbersetuju bekerja dengan Nabi Shuib AS selama tempoh tersentu dengan upah antara lain mengambil salah seorang anak Nabi Shuib AS sebagai isteri. Bekerja itu ibadah kerana Islam itu adalah cara hidup kita
Islam menganjurkan kita berusaha sebagaimana maksud al-Quran dari surah an-Naba’ ayat 11 dan dari surah al-A’raf ayat 10 iaitu: “Kami (Allah) menjadikan waktu siang itu untuk mengusahakan kehidupan.” “Dan Kami (Allah) jadikan bagi kamu padanya (bumi) sebagai lapangan kehidupan, tetapi sedikit sekali kamu bersyukur.” Masa siang untuk bekerja mencari nikmat untuk teruskan kehidupan dan bumi sebagai tempat untuk kita mencari kenikmatan, seperti maksud ayat dari surah al-Jumu’ah, ayat 10: “Maka bertebarlah dimuka bumi, serta carilah rezeki dari kurnia Allah.”
Perhatikan pula maksud dari beberapa hadis Rasulullah SAW antaranya menceritakan bagaimana untuk berusaha, mengapa perlu kita berusaha, siapa yang lebih baik sebagai pekerja atau pengusaha dan apakah usaha atau kerja yang dikatakan terbaik untuk sesaorang itu usahakan.
Maksud sabda Nabi SAW: “Andaikata sesaorang kamu mengambil talinya lalu berusaha mencari kayu-kayan; yang diikatkan dibelakangnya itu lebih utama daripada dia mendapati seseorang yang diberikan Allah pengurniaanNya, lalu meminta-minta kepadanya samada diberi atau ditolak.”
Suatu ketika, sedang Nabi SAW sedang duduk bersama para sahabatnya, maka mereka Nampak seorang anak muda yang gagah perkasa sedang berusaha mencari rezeki. Mereka berkata: Sayang sekali, alangkah baiknya jika anak muda ini menggunakan tenaga kegagahannya untuk berjuang fi-sabilillah? Mendengar hujah tersebut, baginda lalu menangkis dengan bersabda (maksudnya): “Jangan berkata begitu, kerana sesungguhnya jika ia keluar berusaha untuk mencari rezeki bagi anak-anaknya yang masih kecil, nescaya perjalanannya itu pada sabilillah juga. Jika ia keluar berusaha untuk mencukupi dirinya, nescaya perjalanannya itu pada sabilillah juga. Tetapi jika ia keluar berusaha untuk bermegah diri dan menyombong, nescaya perjalanannya itu pada jalan syaitan.”
Pengajarannya ialah supaya:
1) Bagaimana kita sebagai pekerja sentiasa berusaha untuk bekerja dengan lebih tekun iaitu ‘itqan’ dan berkualiti serta teliti pula dalam kerjanya.
2) Siapa berusaha dengan tangannya bermaksud pekerja itu harus mempunyai kemampuan bekerja dengan mahir sehingga keperingkat berkualiti tinggi iaitu kearah mencapai kecacatan sifar (zero defect). Juga berusaha dengan tangannya, bermaksud dengan kuasanya supaya dia dapat menggunakan kuasanya dengan adil kearah mencapai batas-batas Allah SWT. Termasuk dalam kepentingan menggunakan kuasanya untuk menyampaikan ilmu dan kefahaman kepada pekerjanya yang dibawah kuasanya supaya memahami Islam dan memahami seni kerjanya dengan lebih mahir lagi bagi meningkatkan prestasi kerjanya dari masa kesemasa. Hari ini lebih baik dari semalam, dan esok hendaklah lebih baik dari hari ini (konsep penambah-baikan secara berterusan).
3) Apa jua kerja, usaha atau dengan jualbeli yang diredhai Tuhan pula bermaksud menjauhi penipuan dan amanah dalam kerjanya. Tiga golongan manusia yang tidak masuk syurga ialah penipu, orang bakhil dan pengungkit akan bakti (kerja baik) yang dilakukan sebelumnya. Inilah maksud pekerja yang amanah lagi berkemampuan (qawiyyu amin).
4) Bila pekerja itu bekerja dengan niat ikhlas mencari rezeki adalah dikira sama seperti berjuang dijalan Allah; sebaliknya jika bekerja untuk tujuan bermegah-megahan mengumpul kekayaan atau untuk mengejar pangkat, maka perjalanan kerjanya itu adalah pada jalan syaitan, sia-sialah kerjanya.
5) Tujuan dan mengapa bekerja bermaksud bekerja mencari rezeki untuk diri dan keluarga itu adalah kefardhuan dan ianya lebih baik dari amalan sunat yang lain kerana syarat amal soleh itu ialah amalan fardu mengatasi amalan sunat.
6) Bumi ini adalah tempat kita berusaha dan waktu kerja yang terbaik adalah waktu siang.
Semoga, nukilan ini dapat membimbing kita kearah menjadi seorang pekerja atau pengusaha yang terbaik disisi Allah SWT. Kita akan dinilai didunia ini sebagai ‘The Best Employee’ kerana mempunyai kemampuan mencapai KPI yang optimum didalam kerjanya dan diakhirat pula sebagai hamba yang mendapat rahmat Allah SWT kerana berjaya melaksanakan amanah didunia dalam usaha “Khadimul Ummah”. Itulah harapan yang kita doakan supaya beroleh ‘hasanah didunia dan hasanah diakhirat’.
Sempena dengan hari pekerja ini, marilah kita menghayati konsep ruh “qawiyyun amin’ ,slogan ‘hari ini hendaklah lebih baik dari semalam, dan esok hendaklah lebih baik dari hari ini’, tasawwur 'Islam itu cara hidup dan bekerja itu adalah suatu ibadah’ dan falsafah ‘masa itu adalah kehidupan’; supaya kita insya Allah akan menjadi ‘pekerja terbaik, didunia dan diakhirat’.
Waallahu ‘Alam.
No comments:
Post a Comment