Wednesday, April 27, 2011

Perselisihan Kepelbagaian bukan Pertentangan


"perselisihan yang membawa kepada pemilihan dalam organisasi, jemaah atau parti adalah kepelbagaian bukan pertentangan...."

“Tabi'at manusia berbeza, melahirkan perselisihan kepelbagaian, bukan pertentangan. Kepelbagaian sumber kekuatan sedang pertentangan melemahkan. Itulah hikmahNya. Pokok disiram dengan air yang sama, tetapi buahnya berbeza, melebihi dari sesetengahnya yang lain.” (Prof. Dr Yusof Qardawi, 'KebangkitanIslam: antara perselisihan yang dibenarkan dan perpecahan yang dicela').


Tabiat manusia, hidup dimuka bumi ini, dengan gaya yang berbeza. Berbeza dari segi pemikiran (fikrah) kerana perbezaan ini melahirkan kepelbagaian pendapat melalui perselisihan pandangan tetapi kearah menegakkan tasawwur perjuangan yang serupa. Walau tidak seia dan sekata, tetapi mereka berebut untuk menegakkan kebenaran atas dasar perjuangan, secara berpasukan, berakhlak mulia dan berkesan dalam tindakan. Inilah ruh demokrasi yang kita panggil ‘syura’ dari kalangan para sahabat. Kita tahu bahawa bagaimana perselisihan kepelbagaian yang ditunjukkan oleh para sahabat iaitu berhubung dengan pandangan melakukan solat witir, umpamanya. Sayyidina Umar berpendapat bahawa masa untuk melakukan solat witir, kena tidur dulu, dan melakukanya selepas bangun tidur; sedangkan Sayyidina Abu Bakr berpendapat masa melakukannya, adalah boleh, sebelum tidur. Perselisihan ini berlaku dihadapan RasululuLlah SAW sendiri, dan ianya merupakan hikmah serta rahmat kepada kita sebagai suatu tarbiyyah. Maksudnya, Nabi SAW mengiakan kedua-dua pandangan tersebut sebagai suatu kepelbagaian pandangan yang berupa perselisihan, bukan pertentangan. Keduanya diterima sebagai kepelbagaian mengikut waqi’ (situasi, masa dan suasana) dan mengikut kemampuan (qawiyyun) manusia iaitu kita semua. Kemampuan (qawiyyun) sesaorang itu, mengikut Ibn Khaldun, secara fitrahnya, mempunyai empat dimensi iaitu 50% dari segi kemampuan ruhani, 20% kemampuan berfikir, 20% kemampuan saikologi perasaan dan 10% kemampuan jasmani. Maksud kemampuan disini ialah, kekuatan dan kelemahan. Jika kita optimumkannya dengan waqi’ iaitu peluang dan ancaman yang berlaku pada masa dan ketika itu (time frame); akan menjadi sinergi berupa kekuatan berpasukan (jemaah) yang kita panggil ‘barakah’ dalam perjuangan. Integrasi seperti inilah yang kita inginkan sebagai hikmah dan rahmat untuk melahirkan suatu strategi perjuangan yang berkesan. Dimensi yang kuat, bertambah kuat; yang lemah diperkuatakan melalui kepebagaian yang ada pada ahli jemaah atau sesuatu organisasi itu.

Tanggungjawab memberkatkan (synergistic effect) jemaah atau sesuatu organisasi yang berasaskan Islam itu, adalah ditangan pemimpin (qiadah). Pemimpin wajib (fardhu keatasnya) melaksanakan melalui penguatkuasaan peraturan dan arahan organisasi atau jemaah mengikut tuntutan Islam.

Inilah penguatkuasaan fardhu seperti yang dimaksudkan oleh tafsir Ibn Kathir berhubung dengan ‘...nahi mungkar’ dari maksud petikan ayat-ayat al-Quran dari Surah AlImran (104, 110 dan 114) dan dari surah AtTaubah seperti dibawah atau dari hadis yang berkaitan (..biyadih iaitu fardhu menguatkuasakan peraturan Islam):


“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (3:104)


Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)...(3:110)


Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh. (3:114)


(Mereka itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian). (9:112)


Kefardhuan tersebut adalah yang mesti berlaku disemua peringkat tanzim dalam jemaah atau organisasi Islam. Kita faham bahawa sesuatu organisasi itu akan dipanggil jemaah Islam jika ianya mempunyai sekurang-kurang enam unsur seperti berikut iaitu ada qiadah, ada syura, ada tanzim, ada muhasabah terhadap pimpinan, ada thiqah terhadap qiadah dan ada ketaatan dari kalangan ahli melalui peraturan dan arahan yang ada.

Oleh itu, sebarang tindakan ahli, pada setiap masa, hendaklah mengikut batas-batas yang digariskan melalui unsur-unsur tanzim tersebut yang jika organisasi itu adalah dalam bentuk NGO atau parti politik, iaitu melalui perlembagaannya. Namun, perlembagaan yang ada adalah tertakluk kepada ‘hududiLlah’ iaitu ‘syariah Islam’.

Oleh itu, pada hemat saya, pertandingan untuk merebut mana-mana jawatan dalam parti khususnya pati Islam, PAS, hendaklah digalakkan atas ruh kepelbagaian perselisihan pendapat untuk memperkuatkan jemaah disetiap proses perjuangan. Setiap pemimpin yang bergelar ‘qiadah’; perlu berilmu, faham, beramal, menjaga amalannya, menambahbaikkan amalannya dan amalan berjemaah dari masa kesemasa dan perlu berterusan istiqamah dalam penambah-baikkan amal jamaah yang dianggotainya dan yang ia bertanggungjawab sebagai penguasa mengikut kehendak Islam mengatasi kehendak peraturan yang bercanggah dengan Islam. Ini adalah penting supaya tidak berlaku ‘sekularisma dalam bentuk jahiliyyah moden’ dalam mentadbir dan mengurus jemaah. Sekular yang biasa kita dengar ialah ‘politik suku, agama suku’; maka kita tidak mahu ada berlaku sekular dalam jemaah dengan ‘parti suku, usrah suku dan dakwah suku...’.

Kita kena betul-betul faham bahawa pertandingan seperti ini adalah juga merupakan proses tarbiyyah melalui konsep syura diperingkat sesuatu tanzim parti. Jika, setelah, syura peringkat tersebut memutuskan melalui mesyuaratnya untuk ada pemilihan diperingkatnya, maka ia adalah merupakan suatu keputusan syura diperingkat tersebut seperti peringkat cawangan, kawasan atau negeri. Proses syura ini adalah syarie’, maka ada barakah mengikut tuntutan Islam:


hendaklah kamu mesyuarah dari kalangan kamu...” dan “apabila kamu memutuskan melalui syura, maka bertawakkallah kepada Allah dengan keputusan itu..”.


Pada pandangan saya, qiadah tidak berhak untuk membatalkan mana-mana keputusan syura yang dibuat oleh mana-mana peringkat dibawah tanzimnya selagi dia mengikut syariat Allah SWT. Rasulullah SAW, paling banyak melakukan syura dengan para sahabat, untuk mencari keberkatan dalam membuat keputusan. Jika kita ketepikan amalan syura ini, maka tiadalah barakah iaitu kesan sinergi (synergistic effect), sebagaimana yang kita selalu gunakan dalam istilah pengurusan moden sekarang.


Begitulah maksud yang kita kena kaitkan dan kita kena faham dalam kontek pemilihan parti disemua peringkat tanzim (organisasi), iaitu cawangan, kawasan, negeri dan pusat serta diperingkat dewan-dewan. Pemilihan adalah proses syura dan keputusan untuk ada pemilihan diperingkatnya juga adalah diputuskan oleh mesyuarat diperingkatnya yang juga dikira keputusan syura.

Sebarang campur tangan akan menyebabkan tiadanya barakah diperingkat tersebut, dan seterusnya hilangnya barakah dalam jemaah yang akan membawa kepada kelemahan parti dan kekalahan dalam perjuangan jemaah. Kalah dalam pilihanraya, kecil atau besar, dan lemah dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi. Ahli hilang ‘thiqah’ kepada ‘qiadah’ dan akhirnya fenomina ini akan menyumbangkan suatu kekuatan kepada musuh.

Kita tahu, antara lain, kita mampu menang dengan kelemahan dan isu yang ada pada musuh iaitu BN. Tetapi, jika kita tidak menjelaskan maksud sebenar pemilihan dalam parti sebagai sumber kekuatan ahli, maka alangkah ruginya ‘peluang’ ini. Isu yang kita hadapi ini adalah peluang berupa hikmah dan rahmat serta barakah kepada perjuangan; bukan mudharat. Inilah kita panggil salah satu dari kepelbagaian dalam perselisihan sebagai sumber kekuatan parti. Melalui proses ini, kita kena garapkan isu tersebut, supaya ahli bertambah matang dengan ‘tafaquh fi din’ iaitu untuk berfungsi sebagai ahli yang memilih calon dalam pemilihan itu berdasarkan kefahaman perjuangan sebenar. Ahli yang faham sebagai ‘ahlul aqli, wal uqdi’; memilih calon mengikut tuntutan terkini perjuangan parti, bukan atas sebab kempen atau lobi-melobi untuk 'qutlah (puak tertentu)' dengan cara tidak syari’yyah seperti 'kawan makan kawan' atau seumpamanya.

Ahli yang kita mahu adalah ahli yang memahami bahawa pertukaran pimpinan adalah untuk tujuan penambah-baikkan yang berterusan. Itulah, kepelbagaian dalam perselisihan kerana yang diperselisihkan itu akan merupakan tema baru penambah-baikkan bagi qiadah baru yang dipilih. Qiadah sebelumnya telah pun memberi sumbangan yang optimum semasa beliau memegang amanah tersebut. Umpama proses memperlengkapkan batu-bata yang disusun rapi, supaya dari hari kesehari, ada tambahan batu-bata baru yang disusun sehingga siapnya sebuah bangunan yang kukuh dan kuat. Itulah perbezaan dalam kemampuan (qawiyyun) yang kita perlukan untuk kekuatan perjuangan supaya Islam bukan sahaja akan kekal menang tetapi juga ada penambah-baikkan secara berterusan hingga akhir hayat.

Pada saya, jika ada cawangan yang mencalonkan, saya terima itu sebagai salah satu usaha beramal dengan suatu proses syura untuk tujuan mencari redha Allah SWT dan barakahNya. Calon yang bertanding untuk pemilihan juga beramal soleh secara jama'ie bagi tujuan melepaskan takthirnya dengan qiadah dan yang paling penting dengan Allah SWT. Kalah menang hanya berlaku dalam permainan. Kita sebagai calon yang bertanding dalam pemilihan parti bukan melihat kalah atau menang, tetapi melakukan amal soleh bagi mencari redha Allah melalui proses syura. Terpilih atau tidak, dia akan mengharapkan pahala jua dariNya, insya Allah. Begitu juga, jika dia tidak bertanding dalam pemilihan atas sebab syari'e seperti ia diarahkan oleh pimpinan atasan supaya menarik balik pencalonannya. Tindakan untuk tidak bertanding itu adalah kerana memenuhi amal ketaatan kepada kepimpinan yang juga merupakan 'amal soleh'. Apa jua tindakan, perlulah kita lihat dari syarat 'amal soleh' supaya kita semua mendapat barakah.


Inilah yang saya maksudkan dengan ungkapan:


pemilihan dalam parti melahirkan kepelbagaian sumber kekuatan sedang pertentangan melemahkan. Itulah hikmahNya. Pokok disiram dengan air yang sama, tetapi buahnya berbeza, melebihi dari sesetengahnya yang lain”.


Ianya merupakan ‘proses syura’ yang memberikan kesan sinergi iaitu barakah kepada jemaah atau parti politik Islam untuk kekuatan perjuangan.

Tugas ‘qiadah’ ialah meneliti iaitu ‘itqan’ mengawal proses tersebut. Itqan akan isu tanzim tempatan disemua peringkat dan akan sumbangan sebagai 'khadimul ummah' yang telah diberikan semasa era kepimpinan atau tempoh perkhidmatan seseorang itu. Qiadah atasan perlu secara jujur mengiktiraf sumbangan beliau yang ia lakukan dengan sepenuh kemampuan yang ia ada iaitu dari kekuatan dan kelemahan. Apakah kekuatan digembelingkan sepenuhnya dan apakah sudah sampai kelemahan yang ada ditimbalkan dengan kekutan sumber dari rakan sepasukannya untuk kesinambungan perjuangan supaya lebih mantap lagi.

"Dekad ini, lebih baik dari dekad lalu, penggal depan pula hendaklah lebih baik dari penggal semasa".


Perjuangan secara berpasukan perlu diteruskan atas ruh maksud surah Al-'Asr iaitu 'berpesan kepada kebenaran, dan berpesan kepada kesabaran'.


WaLlah’alam. Wassalam. Bersambung, insya Allah.

No comments: