Monday, April 25, 2011

Redha Ibu permudahkan Ketakwaan Anak kepada Allah SWT:

Redha Ibu permudahkan Ketakwaan Anak kepada Allah SWT:

Ibuku ‘Umm Rahimah’, Aku Penyejuk hatimu.....

“Ya Allah ya Tuhanku…jadikanlah anak daku sebagai penyejuk mata, hatiku, serta jadikanlah dia sebagai imam dari kalangan orang-orang yang bertakwa”.

Demikianlah bunyi doa seorang ibu seperti yang dipetik dari Surah Furqan, Ayat 74 yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi oarng-orang yang bertakwa.”

Doa ini sangat mustajab pertama kerana ianya adalah ayat al-Quran dan keduanya kerana ianya didoakan oleh seorang ibu yang ulamak menggelarkannya dengan panggilan ‘Umm Rahimah’. Doanya terhadap anaknya merupakan ‘rahim’ iaitu benteng untuk anaknya bila anaknya keluar rumah, bekerja atau bermusafir mencari rezeki. Jika diamalkan oleh ibu-ibu, antara lain dapat mengelakkan dari berlakunya gejala sosial keatas anak-anaknya, insya Allah.

Islam menghuraikan ‘Umm Rahimah’ ini, sebagai ungkapan untuk seorang ibu yang mempunyai nilai sifat kasih sayang keibuan yang tinggi. Ibu yang mengandungkannya, dan melahirkannya. Dia yang menyusukan. Dia buai, belai, timang, tatang dan mengajar tentang adab dan sopan. Dia memberi makan dan minum, kasih dan sayang, tidur dan bangun, yang sekolahkan dan yang besarkan, yang bagi ubat bila kita sakit dan berjaga malam. Dia mengurus keluarga dan rumahtangga dan dia adalah ‘pengurus terbaik’. Pengurus yang hebat hinggakan anak-anak tidak mampu dan tidak dibolehkan ingkar arahan ibu dalam apa jua keadaan pun. Ketaatan sepenuhnya milik ibu.

Benarlah. Islam kata selepas pengabdian kita terhadap Allah SWT, adalah ibu. Berbanding dengan bapa, Nabi SAW ditanya mengenai tahap penghormatan terhadap kedua ibubapanya, mengikut keutamaan. Lalu Baginda Nabi SAW menjawab hendaklah pertama kepada ibumu, kedua kepada ibumu, ketiga kepada ibumu, sehngga tiga kali, kemudian kepada bapamu. Ini mertabat seorang yang bernama ibu. Nilai pengorbanannya sangat tinggi. Dalam segala segi pengurusan sejak anak dalam kandungan hingga lahir dan dibesarkan dengan pendidikan seiring dengan kasih dan sayang. Manja dan belaian kasih sayang.

Tegas dalam pendidikan dan lemah lembut dalam asuhan, sebagaimana kisah ibu Imam Al-Shafie mendidiknya semasa beliau kecil hingga beliau menjadi ulamak terkenal.

Bila anaknya nak masuk rumah, ibunya mengajar beliau supaya memberi salam. Amat tegas didikannya tentang ajaran yang disuruh dan yang dilarang oleh Islam. Hingga dia walaupun masih kecil, ibunya menghantarnya pergi menuntut ilmu. Belia disuruh berguru dengan Imam Malik, yang ketika itu berada di Madinah. Dia yang masih kecil pada masa itu, diamanahkan oleh ibunya melalui salah seorang gabenor ditempatnya untuk dia dihantarkan ke Madinah supaya menuntut ilmu. Pesan ibu, janganlah kau pulang selagi engkau belum menjadi ulamak. Akhirnya jadilah ia ulamak terkenal, seorang imam, al-imam Al-Shafie. Itu adalah salah satu contoh hasil didikan seorang ibu. Ibu yang bergelar Umm Rahimah, yang mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang demi amanah sebagai ibu, takut pada yang Maha Esa, akan amanah menjaga anak-anak. Diiringi doa dan restu serta pengampunan yang berterusan, berkat sebagai ibu, mampu melahirkan ummah yang terbaik. Kita adalah ummah itu. Kita patut berterima kasih kepada ibu yang mengurus kita hingga menjadi sebahagian dari ummah terbaik, disamping kita bersyukur kepada Allah SWT. Itulah ibu, Umm Rahimahku. Daku penyejuk hati ibu.

Tetapi sayangnya, menjelang dewasa, anak mula lupa pengorbanan ibu yang ‘Rahimah’ kepadanya selama ini.

Abdullah bin Mas’ud RA berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah ia amalan yang paling afdhal (yang lebih besar pahalanya)? Sabda Rasulullah SAW, sembahyang di dalam waktunya. “Aku bertanya lagi, kemudian apa dia? Sabda Rasulullah SAW, berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi, kemudian apa dia? Sabda Rasulullah SAW, berjihad pada jalan Allah SWT.”

Firman Allah Taala di dalam Surah Al-Israa’ ayat 23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan bahawa kamu tidak boleh menyembah melainkan kepada-Nya dan dengan kedua ibu bapa kamu berbuat baik.”

Ini menunjukkan betapa besarnya kelebihan berbuat baik kepada kedua ibu bapa, taat kepada mereka dan melayani dengan perangai yang baik. Bukan sahaja Allah SWT. meletakkannya sebagai suatu amal yang mempunyai fadhilat yang sangat besar dan banyak, tetapi ia menjadi suatu kewajipan yang sangat besar.

Ketakwaan anak kepada Allah harus disertai keredhaan ibu. Ia dapat dilihat dengan jelas di dalam kisah Al-Qamah dengan ibunya. Suatu ketika, dengan sikap tergoboh-gapah, isteri Al-Qamah menghadap Rasulullah SAW. mengkhabarkan bahawa suaminya sakit tenat. Isteri Al-Qamah berkata kepada Rasulullah: “Melihat keadaan suamiku itu, aku amat kasihan kepadanya ya Rasulullah.” Mendengar pengaduan itu, hati Rasulullah merasa hiba. Baginda lalu mengutus Bilal, Suhaib dan Ammar untuk melihat keadaan Al-Qamah. Bilal mengajarkan kalimah syahadah ke telinga Al-Qamah. Anehnya mulut Al-Qamah seakan-akan seperti terkunci. Berulangkali dicuba, namun mulutnya tidak sedikitpun terbuka. Tiga orang sahabat itu lalu segera pulang memberitahukan kepada Rasulullah tentang keadaan Al-Qamah. Rasulullah SAW. bertanya kepada para sahabat tersebut: “Adakah sudah kamu talqinkan ke telinganya?” Salah seorang di antara mereka menjawab: “Sudah ya Rasulullah, akan tetapi mulutnya tetap terkunci.” “Kalau demikian, biarlah aku sendiri yang pergi kesana.” Kata Rasulullah. Ketika melihat keadaan Al-Qamah yang terbaring dipangkuan isterinya, Rasulullah SAW bertanya: “Apakah kedua orang tuanya masih ada?” Isteri Al-Qamah menjawab: “Masih ada ya Rasulullah, tetapi ibunya sudah terlalu tua.” “Di manakah dia sekarang?” Tanya Rasulullah. “Di rumahnya, tetapi sangat jauh dari sini,” Jawab isteri Al-Qamah. Kemudian Rasulullah SAW menyuruh sahabat-sahabatnya pergi menemui ibu Al-Qamah untuk memberitahukan bahawa anaknya dalam keadaan tenat serta menyuruhnya datang bertemu dengan Rasulullah SAW. Kerana Rasulullah SAW yang menyuruhnya datang, maka ibu Al-Qamah pun datang bertemu Rasulullah SAW. Ketika ibu Al-Qamah berhadapan dengan Rasulullah SAW di rumah Al-Qamah maka Rasulullah SAW bersabda: “Wahai ibu Al-Qamah, sesungguhnya anakmu ini dalam keadaan sakarat.” Mendengar pemberitahuan Rasulullah SAW itu, maka dengan segera ibu Al-Qamah berkata, “Biar dia rasakan.” “Tetapi dia dalam keadaan tenat, apakah ibu tidak merasa kasihan kepadanya.” Tanya Rasulullah. Dengan singkat ibunya menjawab, “Dia berdosa terhadapku.” “Ya,akan tetapi maafkanlah dia. Sudah sepatutnya seorang ibu memaafkan dosa anaknya.” Pujuk Rasulullah. “Biarlah dia masuk neraka dengan dosanya”, Jawab ibunya itu. Maka Rasulullah SAW mencari helah. Rasulullah SAW bersabda kepada Bilal bin Rabah: “Wahai Bilal kumpulkan kayu api sebanyak-banyaknya.” “Untuk apa kayu api yang engkau suruh kumpulkan itu ya Rasulullah?” Tanya Bilal kehairanan. “Akan aku gunakan untuk membakar Al-Qamah. Daripada ia hidup dalam keadaan terseksa seperti itu, lebih baik ia dibakar agar cepat mati. Itu adalah lebih baik jika dibandingkan dengan lamanya ia menanggung sakit.” Jawab Rasulullah SAW. Setelah mendengar perkataan Rasulullah itu, maka ibu Al-Qamah tersentak. Hatinya membayangkan apa yang akan terjadi jika anaknya itu dibakar hidup-hidup. Ibunya lalu menghadap Rasulullah SAW dan bertaubat atas keengganannya untuk mengampunkan dosa anaknya itu sambil memohon: “Ya Rasulullah, jangan engkau bakar anakku itu, sesungguhnya aku telah mengampunkan segala dosanya.” Mendengar ungkapan ibunya itu maka legalah hati Rasulullah SAW kerana berjaya melembutkan hati seorang ibu yang menaruh dendam kepada anaknya. Baginda lalu datang mendekati Al-Qamah dan membaca syahadah.

Setelah keampunan diterima oleh Al-Qamah dari ibunya maka keadaannya sangat berbeza dengan sebelumnya kini mulutnya sudah mulai bergerak membaca syahadah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Selepas itu, Al-Qamah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan mengucap dua kalimah syahadah dan dia meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.

Diriwayatkan di dalam kisah Abu Bakar Al-Kattani dan ibu tercinta, di masa remajanya, Abu Bakar Al-Kattani pernah minta izin kepada ibunya untuk mengerjakan haji di Makkah. Ibunya mengizinkannya. Maka berangkatlah dia dari Baghdad menuju Makkah. Ketika sampai di suatu padang pasir, dia bermimpi bahawa dia mesti membersihkan dirinya terlebih dahulu. Kerana mimpinya itu, dia berpendapat dirinya belum mempunyai persediaan yang cukup untuk meneruskan perjalanannya. Oleh kerana itu, Al-Kattani berpatah balik ke Baghdad dan segera pulang ke rumahya. Ternyata dia mendapati ibunya sedang duduk di sebalik pintu menunggu-nunggu kedatangannya. “Bukankah ibu sudah mengizikan aku pergi ke Makkah?” Tanya Al-Kattani. “Betul, akan tetapi sebaik saja engkau pergi hatiku tidak tenang dan duduk sahaja di tempat ini. Aku tidak sanggup melihat rumah itu tanpa engkau.” Jawab ibunya: “Aku telah bertekad untuk tidak bergerak dari tempat ini sehingga engkau kembali.” Maka Abu Bakar Al-Kattani tidak mahu lagi menempuh perjalanan jauh atau mengharungi padang pasir selagi ibunya masih hidup. Apabila ibu yang dicintainya itu telah pulang ke rahmatullah, dia pergi ke Makkah untuk mengerjakan ibadah haji. Dia menghabiskan malam-malmnya di Masjidil Haram dengan beribadah. Al-Kattani menceritakan bahawa ketika dia sedang berada di padang pasir dia telah berjumpa dengan mayat seorang fakir. Anehya mayat itu tersenyum. “Mengapa engkau tersenyum? Padahal engkau mayit.” Kata Abu Bakar Al-Kattani. Tiba-tiba terdengar suara yang memeranjatkan hatinya: “Wahai Abu Bakar! Begitulah keadaan mayat kekasih Allah.” Begitulah ketulusan hati Abu Bakar Al-Kattani dalam menghargai perasaan ibunya, sehingga dalam kehidupannya memperoleh kenikmatan dan kelazatan serta keredhaan Allah.

Diriwayatkan juga di dalam suatu kisah tentang seorang pemuda yang amat mentaati perintah ibunya. Pada zaman Nabi Musa as ada lelaki yang soleh, dia ada seorang anak yang masih kecil dan memiliki seekor anak lembu. Anak lembu itu dibawanya ke hutan lalu dilepaskannya sambil berdoa: “Ya Allah saya lepaskan lembu ini dan saya mohon penjagaan-Mu, kerana ia akan saya serahkan kepada anak saya apabila ia sudah besar nanti.” Tidak lama kemudian lelaki yang soleh itupun meninggal dunia. Maka hiduplah lembu itu bebas tanpa pengembala, bila terlihat manusia ia akan lari masuk ke dalam hutan. Anaknya setelah besar menjadi anak yang soleh pula. Dia sentiasa berbakti kepada ibunya, sehingga dia membahagi waktu malam kepada tiga bahagian: Sepertiga untuk beribadah, sepertiga untuk tidur dan sepertiga lagi untuk menjaga ibunya. Pagi-pagi dia ke hutan mencari kayu api, kemudian di bawa ke pasar untuk dijual, hasilnya juga dibahagikan kepada tiga bahagian. Sepertiga untuk bersedekah, sepertiga untuk makan dan sepertiga lagi diberikan kepada ibunya. Pada suatu hari berkatalah ibunya: “Hai anakku, sewaktu ayahmu akan meninggal dunia ia telah mewariskan kepadamu seekor lembu yang berada di hutan bebas, sedangkan Allah SWT yang menjaganya. Maka pergilah engkau ke sana untuk mengambil lembu itu. Tapi sebelum pergi berdoalah dahulu kepada Allah semoga Allah mengembalikan lembu itu kepadamu. Tanda-tanda lembu itu, bulunya berwarna kuning berkilau-kilauan seperti emas bila terkena sinar matahari.” Pemuda itupun pergi ke hutan mencari lembu itu. Setelah tiba di hutan, dia melihat seekor lembu sedang makan rumput. Lalu dia berdoa kepada Allah: “Demi Tuhan Nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq dan Ya’kub aku panggil hai lembu, datanglah segera kepadaku.” Dengan izin Allah datanglah lembu itu kepadanya. Lalu dipegangnya leher lembu itu dan dibawanya pulang. Tiba-tiba lembu itu berkata kepadanya: “Wahai pemuda, naiklah ke atas punggungku agar engkau tidak penat berjalan.” Pemuda itu menjawab: “Ibuku tidak pernah menyuruh demikian, dia berkata supaya pegang lehermu.” Pada suatu hari ibunya berkata kepadanya. “Hai anakku, engkau miskin tidak berharta, sudah agak berat bagimu bekerja mencari kayu api, sedangkan setiap malam engkau selalu bangun beribadah, oleh itu, lebih baik kamu jual sahaja lembu itu.” Anaknya bertanya: “Kalau kita jual lembu itu berapa harganya?” Jawab ibunya: :Tiga dinar, dan jangan engkau jual lembu itu sebelum berbincang dahulu denganku.” Setelah lembu itu dibawa ke pasar oleh pemuda itu, Allah SWT mengutus malaikat untuk menguji sejauhmana ketaatan pemuda itu kepada ibunya. Malaikat bertanya: ‘’Berapa akan kamu jual lembumu ini?” Jawab pemuda itu: “Tiga dinar.” Malaikat berkata: “Bagaimana kalau saya beli enam dinar dengan syarat jangan beritahu ibumu.” Pemuda itu menjawab: “Jika engkau membeli lembu saya dengan emas seberat lembu ini sekalipun tidak akan saya jual sebelum mendapat restu dan persetujuan dari ibu saya.” Lalu pemuda itu pulang memberitahu ibunya. Kata ibunya: “Juallah lembu itu seharga enam dinar dengan redhaku.” Kemudian pemuda itu pergi ke pasar menemui malaikat dan berkata: “Ambillah lembu saya ini seharga enam dinar dengan redha ibuku.” Malaikat berkata: “Saya beli lembu ini seharga dua belas dinar, jangan beritahu ibumu.” Pemuda itu pulang untuk memberitahu ibunya bahawa lembu itu akan dibeli seharga dua belas dinar. Sesampai sahaja pemuda itu di rumah maka ibunya berkata: “Wahai anakku, ketahuilah bahawa yang akan membeli lembumu itu adalah malaikat. Sekarang kembalilah kepadanya dan tanyakan apakah lembu ini boleh dijual atau tidak. Ketika dia kembali menemui malaikat, malaikat itu berkata: “Pulanglah kamu wahai pemuda dan katakan kepada ibumu bahawa lembu ini jangan dijual, sebab Nabi Musa as akan datang kepadamu untuk membeli lembu ini kerana kejadian pembunuhan di kalangan Bani Israil. Bila lembu ini ingin mereka beli, jangan engkau jual kecuali dibelinya dengan emas seberat lembu ini.” Tidak lama kemudian terjadilah peristiwa pembunuhan di kalangan Bani Israil, untuk mengetahui siapa pembunuhnya. Maka Nabi Musa as menyuruh mencari seekor lembu untuk disembelih sesuai dengan wahyu Allah SWT dengan persyaratan-persyaratan yang cukup. Padahal lembu tersebut sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Nabi Musa as adalah lembu kepunyaan pemuda itu. Maka terpaksalah orang-orang Bani Israil membeli lembu tersebut sesuai dengan yang dipesankan oleh malaikat, iaitu dengan emas seberat lembu. Inilah kisah seorang oemuda miskin di zaman Nabi Musa as yang diberi rahmat dan kurnia oleh Allah SWT kerana taat dan patuh terhadap perintah ibunya.

Ketaatan anak kepada kedua ibubapanya tidak berakhir walaupun kedua mereka meninggal dunia. Dari hadis Abu Daud meriwayatkan, telah datang seorang bertanya pada Rasulullah SAW adakah sesuatu kebaikan yang masih ia dapat lakukan kepada ibubapanya setelah mereka meninggal dunia. Rasulullah SAW menjawab:

“Ada, iaitu mendirikan solat jenazah bagi keduanya, berdoa meminta ampun bagi keduanya, melaksanakan apa yang menjadi janji keduanya, memuliakan orang yang menjadi sahabat keduanya dan memberi pertolongan kepada keluarga yang bergantung kepada keduanya.”

Ziarah kubur kedua ibu bapa yang meninggal adalah dikira sebagai amalan bakti, sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seoarang diantara mereka setiap hari Jumaat, nescaya diampuni dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti.”

Berbakti kepada kedua ibubapa membawa berkat dan dipanjangkan umur, sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW:

“sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya maka hendaklah dia berbakti kepada ibubapanya dan menyambung tali silaturrahim.”

Semoga kita memuliakan ibubapa kita dan menjadikan kita dimuliakan pula oleh anak-anak kita dengan pahala bakti yang berterusan turun temurun melalui zuriat penyejuk hati kita, dari seoarang ibu yang bergelar ‘Umm Rahimah’ dan juga dari seoarang bapa yang bergelar ‘Abu Rauf’.

No comments: