Proses Muhasabah adalah bermaksud menghitung. Ianya merupakan salah satu kaedah untuk memperbaiki pencapaian harian kita supaya lebih baik dari masa kesemasa. Jika pada diri kita, kita panggil muhasabah diri. Menghitung pencapaian KPI akan pahala atau dosa. Kaedah ini adalah merupakan suatu proses yang perlu kita kawal. Ianya perlu berlaku pada diri kita sebagai individu, dan juga pada organisasi atau institusi termasuk institusi keluarga seperti maksud firman Allah SWT: "Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka..".
Pada organisasi, muhasabah adalah merupakan salah satu unsur tanzim jika organisasi itu adalah organisasi berasaskan Islam. Selalunya pemimpin sahaja yang menilai atau muhasabah pekerjanya. Tetapi, dalam keadaan ini, pekerja juga perlu muhasabah pemimpin atau pehak pengurusan atasan supaya berlaku 'check and balance' yang sempurna dan lengkap bagi tujuan penambahbaikkan yang berterusan. Maka SOP nya hendaklah ada dan didokumenkan untuk rujukan dan tindakan semua pihak: pekerja, pengurusan dan pimpinan atasan.
Secara ringkasnya, SOP itu mestilah bermula dengan (i) orang yang membuat kerja (pengamal), kemudian hendaklah disemak oleh; (ii) pihak atasannya iaitu 'superior' (penyemak). Selepas itu pula hendaklah ada (iii) pihak yang mengesahkan (verification), supaya hasil kerja tadi benar dan betul serta berkualiti lengkap iaitu 'itqan'; dan seterusnya hendaklah ianya diluluskan oleh (iv) pihak tertinggi atasan dalam bentuk mesyuarat iaitu kuasa syura (approval). Akhir sekali, (v) barulah hasil kerja itu di edarkan untuk dimanafaatkan oleh umum sebagai tanda pencapaian dari pengamal samada dari pekerja secara individu atau secara berpasukan (teamworking). Proses terakhir ini, kita namakan majlis kesyukuran (celebrating the results). Bersyukur dengan natijah sebenarnya yang diperolehi mengikut KPI yang dirancangkan dan yang telah didoakan supaya berjaya dengan izinNya. Bermula dengan 'doa' akan perkara yang dirancangkan (plan) oleh si pengamal dan berakhir dengan syukur terhadap pencapaian yang diperolehi. Kitar semula dan seterusnya hingga pencapaian optimum.
Itulah SOP yang perlu ada bagi tujuan mengawal proses untuk menghasilkan natijah yang berkualiti tinggi iaitu 'itqan' atau 'sifar kecacatannya'. Mudah kata, inilah cara hidup Islam yang perlu diamalkan dalam hidup atau organisasi kita yang mengamalkan Islam. Islam mengawal proses bukan kita yang mengawal Islam. Cara hidup Islam yang mengawal melalui SOP yang berasaskan Islam, bukan sebaliknya. Tetapi, kebanyakannya yang kita jumpa ialah sistem berasaskan dari "bukan-Islam" yang mengawal proses cara hidup seseorang atau sesebuah organisasi itu. Itulah namanya sistem sekular yang kini sedang berleluasa. Sekular yang bertopengkan nama Islam, iaitu suatu bentuk jahiliyyah moden yang sukar untuk difahami kecuali dengan kefahaman Islam (tafahhum fil Islam). Itulah kebaikan yang Allah nak berikan kepada sesaorang itu, iaitu dengan diberinya akan kefahaman Islam.
Tasawwur SOP diatas adalah diilhamkan dari kaedah Islam. Dari kisah yang diriwayatkan bahawa amal sesaorang itu dihitung berasaskan niatnya. Suatu ketika, amal sesaorang itu akan dibawa oleh malaikat penjaga merentasi tujuh lapisan langit untuk menemui Allah SWT bagi tujuan kelulusan. Amalan tersebut, disemak oleh malaikat penjaga setiap lapisan langit yang dipanggil 'malaikat hafazah' untuk semakan dan pengesahan akan kemurnian amal tersebut dari tujuh sifat ruhiyyah yang berkaitan dengan keikhlasan niat si pelaku. Jika gagal akan niatnya, maka ianya tidak diterima. Tidak akan sampai kelangit yang ketujuh apatah lagi untuk berjumpa dengan Allah SWT. Peringkat ini memerlukan ikhlas berdasarkan konsep 'liwajhillah'. Sila rujuk tafsir surah Al-insan mengenai kisah asbabunuzul terhadap sepasang suami isteri yang berpuasa yang memberikan makanannya yang ia sayangi untuk tujuan berpuasa kepada tiga tetamu iaitu orang miskin, anak yatim dan tawanan perang. Itulah dikatakan ikhlas tahap 'liwajhillah' yang amalnya sampai kepada Allah SWT.
Insya Allah, bersambung. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment