Tazkirah Ilannur D’series-3: Malaikat Hafazhah Langit Pertama, ‘Juruaudit Penjaga Ghibah’.
Sesuatu amal itu sah dilakukan dengan niat. Niat pula sah jika ianya ikhlas kerana Allah SWT. Dalam maksud hadis pertama kitab arba’in al-Nawawi menceritakan bahawa sesaorang yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya dari Mekkah ke Madinah sahaja yang dapat pahala hijrah. Tetapi, jika hijrahnya kerana selainNya maka ia dapat apa yang ia niatkan sebagaimana salah orang ketika itu yang berhijrah kerana untuk berkahwin dengan seoarang wanita maka dapatlah ia berkahwin dengan wanita itu.
Niat yang ikhlas adalah merupakan salah satu dari tiga syarat yang sesuatu amal itu akan diterima Allah SWT sebagai ‘amal soleh’ sebagaimana dalil yang disebut dalam al-Quran iaitu surah Al-Kahfi: 110 dan Surah Al-‘Asr. Antara maksud ayat dari Surah Al-Kahfi itu ialah:
فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا
(Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya) (Al-Kahfi:110).
Dan dari Surah Al-‘Asr pula iaitu:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)
Syarat supaya tiada syirik dalam ibadat adalah merupakan syarat ‘Ruhiyyah’ yang penting untuk menjadikan sesuatu ‘amal itu diterima oleh Allah SWT sepertimana ianya dibawa oleh malaikat yang bertugas untuk melepasi ‘tujuh malaikat Hafazhah’ mengikut tugas masing-masing, sebelum ianya disahkan untuk menemui Allah SWT.
Antara syirik yang tersembunyi dilakukan oleh sesaorang Muslim itu ialah merupakan penyakit hati sebagaimana penjaganya yang kena jaga iaitu dari 7 para Malaikat Hafazhah tersebut iaitu:
Dari kitab Al-zuhud yang sanadnya dari Khalid ibn Maadan pernah berkata kepada Muaz : “Wahai Muaz! Ceritakan kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar dari Rasulullah SAW”. Muaz berkata: Aku dengar Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku:
“Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan tujuh orang malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi, kemudian lalu ditentukan disetiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba yang dilakukan dari pagi sampai ke petang sebagai ‘amal soleh’ sampai kelangit pertama. Lalu berkata malaikat penjaga langit pertama itu bagi malaikat Hafazhah:
“Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melalui aku untuk terus naik keatas.”Jadi, dari kisah ini, sifat penyakit hati yang pertama yang turut serta dalam amal soleh sesaorang itu ialah sifat ‘ghibah iaitu mengumpat’. Sifat ini merupakan syirik khafi yang tersembunyi yang menyebabkan amal seseorang itu ditolak di tahap pertama iaitu tidak melepasi lapisan langit pertama yang penjaganya adalah malaikat Hafazhah langit pertama untuk sifat 'ghibah'. Na'zubillah. Jika kualiti amal yang dikatakan bercahaya dan bersifat ‘amal soleh’ itu pun jika ada unsur-unsur ‘ghibah’ bersamanya, maka amalan itu tidak dikira amal soleh yang ikhlas kerana Allah SWT. Itu, adalah unsur syirik yang pertama, yang menyebabkan amal itu ditolak.
Suatu pengajaran bagi kita terutama bagi yang berpolitik kotor dengan bukan sahaja mengumpat tetapi dengan fitnah. Mengumpat dengan perkara yang bukan berlaku tetapi yang direkakan berlaku untuk tujuan 'ghibah'. Ini yang berleluasa berlaku sekarang ini. Mohon Allah lindungi kita dari perkara ini.
Untuk unsur yang keduanya, bersambung bagaimana kisah seterusnya dari maksud hadis tersebut, insya Allah SWT.
Wallahu'alam. Wassalam.
No comments:
Post a Comment