Wednesday, May 11, 2011


(sambungan dari Tazkirah Ilannur D’series ke-9…..)                                                                              

Tazkirah Ilannur D’series ke-10

Para Malaikat Hafazhah Penjaga Tujuh Petala Langit melepasi langit Ketujuh untuk sampai kepada Allah SWT, mereka Para Malaikat dari kalangan Penjaga amalan Ikhlas "Liwajhillah"

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah, membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam, (dari perkara yang sia-sia) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasai segala halangan  dan sampai kepada Allah.  Para malaikat itu berhenti dihadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut.” Lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya:

“Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya. Ia sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalannya tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu, oleh kerana itu maka Aku turunkan keatasnya akan laknatKu”.

Lalu para malaikat tadi berkata:

Keatasnya laknatMu dan juga laknat kami.” Lalu dilaknat akan dia oleh tujuh petala langit dan seisinya.

Mendengar sabda Nabi SAW ini, lalu Muaz menangis seraya berkata: “Engkau adalah Rasulullah SAW, sedang aku adalah Muaz (hamba Allah yang bukan Rasul). Maka bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera. Lalu Rasulullah SAW menjawab:

Hendaklah engakau ikuti aku walaupun hanya dengan sedikit amalan. Wahai Muaz jaga lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca Al Quran (golongan Ulama’) dan pertanggungkanlah segala dosamu keatasmu dan jangan engkau mempertanggungkan dosamu keatas mereka dan jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain dan jangan engkau memuji dirimu dihadapan mereka. Dan jangan engkau campurkan urusan dunia didalam urusan akhirat. Dan jangan engkau menyombong diri didalam majlis nanti orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada disisimu dan jangan engkau membesarkan dirimu maka akan terputus daripadamu segala kebaikan didunia dan diakhirat. Dan jangan engkau carikkan (pecah belah) akan manusia maka mencarik akan dikau oleh anjing-anjing api neraka pada hari kiamat nanti”. Allah telah berfirman (maksudnya):

Demi yang mencarik akan carikkan”. (Al Nazia’at: 2).

Apakah engkau ketahui wahai Muaz siapakah mereka yang mencarik itu? Muaz bertanya “Ya Rasulullah, sebenarnya siapa mereka?”. Lalu Nabi SAW menjawab: “Itulah anjing-anjing garang didalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga sampai ke tulang”.

Muaz bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi?. Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?”. Nabi SAW menjawab: “Itu sebenarnya mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah”.

Kemudian, lalu Khalid bin Maadan berkata: “Maka aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak membaca Al Quranul Karim lebih daripada Muaz kerana beliau faham terhadap hadis yang besar ini.” [1]

Dan ketahuilah olehmu bahawa tiga perkara ini (hasad, riak dan ujub) ialah punca kepada segala penyakit hati dan baginya tempat tumbuh yang sama, iaitulah ‘hubbud dunia’ (cinta dunia). Oleh kerana itu Rasulullah SAW pernah bersabda:

Cinta dunia itu adalah punca daripada segala kejahatan.” (riwayat Al Baihaqi).

Namun sesiapa yang mengambil dunia sekadar yang ia perlukan, iaitu untuk sampai keakhirat, maka dunia seperti ini adalah ladang akhirat, yang tidak akan membinasakannya.

Dan jika engkau menuntut ilmu “Qila wa Qala” (ertinya ilmu perdebatan) dan ilmu perbalahan dan khilafiyah, maka alangkah besarnya musibahmu.

Maka sesiapa yang mencari dunia dengan menggunakan agama ia akan rugi didunia ini dan diakhirat, dan siapa yang meninggalkan dunia dan memberi penumpuan kepada agama pasti ia akan untung kedua-duanya sekali.

Itulah sedikit sebanyak yang dapat penulis sebutkan dalam bicara “Tazkirah IlanNur D’series yang merupakan lampu penyuluh jalan dari 'kegelapan kepada cahaya yang terang benderang (zulumat ilannur)' dan permulaan jalan sebagai taufik menuju hidayah.

WaLlahu’alam. Wassalam. Ila Liqa’. Bersambung. Insya Allah.



[1] Hadis ini riwayat Ibnul Mubarak didalam kitab Al Zuhd dan riwayat Ibnul Jauzi didalam kitab Al Maudhu’at (lihat Takhrij Al Iraqi Ihya Ulumiddin 3/295).

No comments: