Celek Akeedah: Komunisma, bentuk Jahiliyyah Pertama
Bismillah. AsSalamu'alaikum Wr. Wb. Bertemu kembali kita dalam siri IlaNnur 'celek akeedah'.
Kali ini kita akan bincangkan apa itu jahiliyyah dari sudut 'celek akeedah'. Pertama kita kena faham bahawa celek akeedah ini adalah milik insan yang bergelar 'ulul albab' sebagaimana disebut dalam al-Quran, surah al-'Imran: 191-192, yang bermaksud:
إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (١٩٠) ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (١٩١)
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka. (191)”
Bagi mereka yang ‘ulul albab’, mereka adalah berakal, dan bila mereka berakal, mereka ‘celek akeedah’. Dalil ini jelas menunjukkan kapada kita bahawa Allah SWT menyuruh manusia berfikir akan ciptaanNya supaya ciptaanNya itu akan menjadi bukti bahawa dunia dan alam seluruhnya tidak terjadi dengan sendirinya. Mengikut, ilmu alam, alam ini dicipta oleh Penciptanya iaitu Al-Khalik, Allah SWT. Orang yang berakal itu dapat berfikir dan dia akan percaya bahawa Allah iaitu Rabbul’alamin itu ujud, Dia sebagai Pencipta, maka mudah saja bagi orang yang celek akeedah, yang bergelar ‘ulul albab’ ini beriman kepada Allah SWT.
Dalil ‘aqli seperti ini penting bagi manusia berfikir untuk beriman kepadaNya. Dalam jahiliyyah moden sekarang ini, ramai manusia bergelar saintis, yang berfikir akan seni dan fakta keujudan makhluk ciptaan Allah SWT, tapi tidak ‘ulul albab’ dan ‘tidak celek akeedah’. Mengapa? Mungkin mereka berfikir tanpa rasa ikhlas terhadap apa yang mereka fikir, apa yang mereka kaji, apa yang mereka selidiki atau akan apa yang mereka renungkan atau buat kajian. Sedangkan hadis menyatakan, yang bermaksud: ‘sesuatu amal itu bergantung pada niatnya..’; jadi jika niatnya ikhlas maka ia akan diberi ‘taufik’ untuk menemui hasil penemuannya itu sebagai ‘hidayah’ untuk dia beriman kepada Allah SWT. Puncanya kerana dia ikhlas (seperti yang kita telah fahami maksudnya, liwajhiLlah) maka dia dapat akan apa yang dia cari dan fikirkan. Jika, niatnya hanya untuk dapat gelaran semata-mata serta untuk dapat ijazah, bukan untuk ‘berilmu, beriman dan beramal’; maka natijahnya dia akan dapat akan apa yang dia niatkan. Macam seorang yang berhijrah untuk bernikah dengan seorang perempuan, maka dia tak dapat pahala hijrahnya, tapi dia hanya dapat bernikah sahaja. Ada pun, para sahabat lain, mereka dapat pahala hijrah dan juga berkeluarga serta berzuriat. Ini kerana mereka ikhlas dalam niatnya dan mereka perolehi kebaikan. Ini penting bagi pelajar yang sekarang berada di IPT umpamanya. Niat kena jelas dan ikhlas. Begitu juga doa dan harapan serta cita-cita, kena jelas, ikhlas dan untuk tujuan pengabdian kepada Allah SWT. Jika kita niat untuk menuntut ilmu atas dasar ikhlas iaitu ‘berilmu, beriman dan beramal’; maka Allah akan permudahkan kita untuk mendapatkan ilmu dan sekali gus untuk dapat ijazah.
Berbalik kita kepada apa itu jahiliyyah? Dari ayat berhubung ‘ulul abab’ tadi, jelas bahawa melalui ‘akal itu tidak akan mungkin ada manusia yang tidak beriman akan ujudnya Pencipta, iaitu Allah SWT. Jadi, pemikiran yang seperti ini, iaitu ideologi tidak percaya pada keujudan Tuhan itu, Sayib Qutub mensifatkannya sebagai ‘komunisma’. Ini adalah bentuk jahiliyyah yang paling besar kerana mereka ini tidak percaya akan ujudnya Tuhan sebagai Rab atau Pencipta atau tuhan-tuhan dalam apa jua bentuk penyembahan pun. Mereka langsung tidak beriman, kononnya. Kekadang golongan ini dipanggil juga ‘atheisma’. Inilah bentuk jahiliyyah yang paling teruk , bodoh dan jahil sekali; kerana orang Arab badawi padang pasir yang bodoh pun, mereka mampu berfikir yang Tuhan itu ujud.
Apabila ditanya kepada mereka, buktikan yang Tuhan itu ada? Lalu mereka berkata, jika dipadang pasir itu kita jumpa tahi unta, maka tentu ada untanya. Itulah logiknya jawapan mereka. Jadi, jika ada ‘alam, gunung, lautan, bumi dan seumpamanya; maka tentu ada Penciptanya iaitu Allah. Itu pemikiran Arab badwi yang dikira paling bodoh, yang pernah kencing didalam masjid. Lalu, para sahabat nak pukul mereka kerana marah. Tetapi baginda Nabi SAW menyuruh para sahabat supaya siramkan air ditempat mereka kencing hingga bersih dan suci.
Dalam hal pemikiran ‘komunisma’ dan ‘ulul albab’ ini, ianya sangat rapat pertaliannya. Mereka yang berfikir iaitu ahli ulul albab, tidak mungkin menjadi puak ‘komunisma atau atheisma’. Sebab tu, adalah penting bagi pelajar sekolah mempelajari ‘ilmu ‘alam. Sabjek ini pernah diajar disekolah suatu ketika dahulu, tetapi ianya ditukar dengan sabjek geografi. Bila kita panggil geografi, pelajaran mengenai ‘alam tidak diajar untuk tujuan pelajar menjadi ‘ahli ulul albab’. Pelajar bukan diajar untuk mengenal Allah SWT, sebaliknya supaya mereka jadi lebih jauh dari Allah SWT . Oleh sebab itu, ‘alam ciptaan Tuhan diajar supaya dipanggil ‘alam semula jadi? Itulah, salah satu dari fahaman jahiliyyah komunisma, yang tidak percaya akan keujudan Pencipta.
Itulah bentuk jahiliyyah pertama.
WaLlahu ‘alam. Wassalam. Bersambung.
1 comment:
Setelah saya menyedari bahawa menyebut "Alam semulajadi" itu boleh membawa kepada jatuh akidah, maka saya telah pun berhenti daripada menyebutnya, dan menggantikan kepada "Alam ciptaan Allah s.w.t." ataupun "Alam ciptaan Tuhan yang Maha Esa".
Post a Comment